we're the odds beaters :-)

Daisypath Anniversary tickers

May you grow to be a good person InsyaAllah...

Lilypie - Personal pictureLilypie Fifth Birthday tickers

The Youngest Man In The Family

Lilypie - Personal pictureLilypie Third Birthday tickers

Semasa Pulau Pinang atau Tanjong Penaga atau Tanjong Penegeri dibuka oleh Sir Francis Light untuk mendirikan kota Fort Cornwallis pada tahun 1786, penduduk tempatan dikatakan telah wujud dan menetap di kawasan Batu Uban, Sungai Pinang, Telok Bahang dan Seberang Perai.
Batu Uban telah wujud komuniti Melayu yang berasal dari Sumatera dan Kedah serta percampuran dengan pedagang dan alim ulama dari tanah Arab.
Telok Bahang pula adalah penduduk nelayan yang berasal dari Kedah dan Aceh.
Sungai Pinang juga terdapat penduduk Melayu berasal dari Kedah, Aceh, Sumatera dan India Muslim yang berdagang dengan penduduk tempatan yang mengikut cerita lisan yang mashyur sebagai “Tok Nadok berkajang kain” yang bermaksud Tok Nadok atau Tok Nagor berkemahkan kain.
Kawasan Seberang Perai yang lama dibawah pemerintahan Kesultanan Kedah malah sebahagian dari Kerajaan Lembah Bujang di Zaman Langkasuka telah lama diduduki penduduk Melayu tempatan di Kota Aur, Guar Kepah, Permatang Bendahari, Penaga, Kuala Muda, Kuala Bekah, Bagan Tambang, Telok Air Tawar, Kuala Perai, Bagan, Kampong Kota, Kuala Juru dan Pulau Aman dikatakan jauh lebih awal sebelum kedatangan Sir Francis Light lagi.
Butterworth atau “Bagan” adalah nama panggilan penduduk tempatan yang dimaksudkan pengkalan atau "Jetty".
Kawasan Bagan merupakan kawasan penempatan awal penduduk tempatan di persisiran pantai yang berhadapan dengan Pulau Pinang terutamanya nelayan.
Ianya dapat dilihat dari nama tempat disepanjang pantai di Butterworth sehingga ke Telok Air Tawar yang bermula ataupun menggunakan nama Bagan bermaksud Pengkalan atau “Jetty”.
Bermula dari Pengkalan Sultan Abdul Halim, Bagan Luar, Kubang Buaya, Bagan Jermal, Bagan Ajam, Bagan Lebai Tahir, Bagan Tuan Kecil, Bagan Lalang, Bagan Dalam hinggalah ke Bagan Tambang dan Bagan Belat di Telok Air Tawar.
Pentadbiran Inggeris di Pulau Pinang pada tahun 1814 telah menunjukkan wujudnya penempatan awal dikawasan Pengkalan Sultan Abdul Halim, Pengkalan Feri atau Stesyen bas Jeti Butterworth atau Meriam Timbul, di mana terdapatnya sebuah surau lama yang bernama Surau Balai Pukat dan Tanah Perkuburan Islam di bersebelahan tangki minyak Shell di Pangkalan Bagan Luar, Jalan Pantai Butterworth.
Sumber sejarah juga menyatakan bahawa Sultan Kedah telah bersiap sedia dengan Angkatan Perang Kedah untuk memerangi Inggeris bagi menawan semula Pulau Pinang yang telah diambil oleh pihak Inggeris secara tipu muslihat.
Namun Angkatan beliau telah tewas dalam serangan mengejut oleh tentera Sir Francis Light pada 1791.
Maka Sultan telah mengatur rancangannya untuk menyerang Inggeris dengan menyiapkan Angkatan Perangnya yang berpusat di Kampung Kota.
Senjata-senjata dipersiapkan dari kilang-kilangnya di Pekan Darat.
Pahlawan-pahlawan dan panglima-panglima perang serta perajurit-perajurit telah bersiap sedia untuk bertempur di medan “jihad menentang kafir” kerana mereka bukan sahaja dari Angkatan Kedah malah telah dibantu dari para kesatria Melayu dari Aceh, Perak, Pattani, Johor malah dari Brunei, Kepulauan Mindanao dan Illanun.
Perang ini amat penting demi mempertahankan satu lagi bumi Melayu dari jatuh ke tangan penjajah, bererti hidup dan mati Kedah dan Nusantara ini, maka dengan seribu buah perahu-perahu telah dipersiapkan untuk menyerang Pulau Pinang dari Kuala Perai, Butterworth.
Angkatan Perang Kedah pada ketika itu sedang berkubu di Kuala Perai tetapi malangnya pasukan tentera mereka telah diserang secara mengejut terlebih dahulu oleh pihak tentera Kapten Sir Francis Light dengan mengarah serangan dilakukan oleh pembantunya “Kapten Andrew Glass pada 12 April 1791 kira-kira jam 4.00 pagi.
Empat kapal perang bernama Dolphin, Princess Augusta dan Valient bersama tiga kompeni askar sipahi/sepoi telah menyerang Kuala Perai.
Ia juga merupakan suatu peperangan yang hebat antara tentera Kedah dengan askar-askar sipahi telah berlaku selama empat hari.
Amat malangnya nasib yang menimpa tentera Sultan Kedah kerana Syarikat Hindia Timur dikatakan waktu itu mempunyai kelengkapan senjata yang moden serta askar-askar yang terlatih dengan mudahnya mereka dapat menewaskan askar-askar Sultan Kedah.
Kebanyakan Kubu-kubu yang dibina di Kuala Prai Butterworth itu telah musnah dibom oleh kapal Perang British.
Walau bagaimanapun selepas itu Baginda Sultan Kedah juga dikatakan telah memajukan pelabuhan di kawasan Seberang Perai iaitu di kawasan yang bertentangan dengan Tanjong Penaga bertujuan untuk menyaingi kemajuan pihak Inggeris seperti Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.
Nama Meriam Timbul dan terdapatnya sepucuk meriam yang berada dalam rumah tokong Cina di tepi Jeti Pengkalan Feri Butterworth sekarang ini ada kaitannya dengan kesan peristiwa perang di antara tentera Sultan Kedah dan Sir Francis Light.
Nama Bagan juga dikatakan tidak lagi menjadi nama asalnya kerana William John Butterworth (Governor of the Straits Settlements 1843–1855) telah mengambil alih pentadbiran Negeri Selat, dan pada ketika itu nama Butterworth telah diberi nama sebagai pusat pentadbiran British di Seberang Perai.
Sehingga kini masih terdapat lagi kesan-kesan peninggalan bangunan lama era tahun 1800 seperti Hospital Butterworth, Pejabat Pos Bagan Luar, Pejabat Pertanian, Pejabat Town Council, Balai Polis, Gereja dan bangunan persendirian semasa pentadbiran British seperti di Jalan Pantai, Sekolah Convent Butterworth, Kilang Peleburan Bijih Timah (Straits Trading Company), Lapangan Terbang Royal Australia Air Force (RAAF) atau Pengkalan TUDM Butterworth, Taman Robina dan Bangunan unik seperti piring terbang di Sekolah Menengah Vokasional Butterworth di Telok Air Tawar.
Ketika era sebelum merdeka pada tahun 1950, Butterworth banyak mencatatkan peristiwa bersejarah seperti Hari Pengisytiharan Pemuda Merdeka di Dataran Pemuda Merdeka di Jalan Bagan Luar Butterworth atau dahulunya ia lebih dikenali dengan nama padang British Recreation Club (BRC) pada 1958 yang di ketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Malaya ketika itu Dato Haji Ahmad Badawi (ayahanda Pak Lah) dan juga persidangan para Alim Ulama dan juga terdapat banyak organisasi awal dari Seberang Perai telah menjadi pengasas utama keahlian Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada tahun 1951, di mana kejayaan Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterworth pada 24 November 1951 dikatakan telah menjadi begitu penting dalam sejarah pembangunan Islam di negara ini.
Sumber daripada:
Tuan Haji Dahalan Bin Fazil
Persatuan Sejarah Dan Warisan Negeri Pulau Pinang