“Tuan kadi, kami benar-benar saling mencintai. Tolonglah, nikahkan kami".
"Tak boleh. Anak sendiri mengaku gadis ini sudah bertunang dengan pemuda lain. Saya tak mahu bersubahat dengan anak berdua!".
"Tapi dia tidak mencintai tunangnya itu!"
"Itu soal lain. Soalnya, dia sudah bertunang!".
"Apakah tuan kadi sanggup melihat kami bersekedudukan dan melakukan zina ?”
"Astafirullahal'azim! Mengucap nak!"
"Kami masih ingatkan Allah, tuan kadi. Kami masih berpegang kepada ajaran agama. Sebab itulah kami minta supaya kami dinikahkan. Kami tak mahu bersekedudukan tanpa nikah".
"Kalau anak berdua berpegang kepada agama,anak juga harus berpegang kepada Adat. Adat yang telah menetapkan pertunangan anak itu".
"Saya tak mahu kahwin dengan tunang saya itu! Saya tidak mencintai dia!"
"Kalau begitu anak pulanglah dulu. Merayu kepada ibu bapa anak supaya memutuskan pertunangan anak dengan pemuda itu. Kemudian suruhlah kekasih anak ini masuk meminang".
"Itu tidak mungkin, tuan kadi. Ibu bapa saya tidak akan menerima pinangan kekasih saya ini".
"Anak mesti pujuk ibu bapa anak itu baik-baik".
"Tidak, Tuan kadi. Orang tua saya tidak akan menerima pinangan dia. Lagipun, ayah saya panas baran orangnya. Kalau saya minta pertunangan saya dengan pemuda itu diputuskan, dia pasti mengamuk. Dia akan bunuh saya tuan kadi!"
"Tidak ada orang tua yang sanggup membunuh anak kandungnya sendiri!"
"Tidak tuan kadi. Kalaupun ayah tidak sanggup membunuh saya, nyawa kekasih saya ini yang akan menjadi mangsanya nanti!".
"Benar tuan kadi. Tolonglah nikahkan kami. Kami tidak ada pilihan lain lagi".
"Kalau macam tu, saya pun tak ada pilihan. Saya tak dapat menikahkan anak berdua. Anak cubalah pergi jumpa kadi daerah lain".
Zaki mengeluh kecewa. Begitu juga Azzah. Mereka berpandangan, hampa. Malam itu Zaki tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugasnya. Entah berapa kali dia membuat kesilapan memukul drumnya. Albert, ketua kumpulannya yang bermain Keyboard dapat mengesan keadaan Zaki. Sewaktu break dia mengajak Zaki minum di sebuah gerai di depan bangunan yang menempatkan Century Night Club, tempat mereka mengikat kontrak bermain muzik .
"So,you orang tak dapat nikah lagi?" Albert menduga. Zaki hanya mengangguk. Albert merenung tepat wajah temannya itu, simpati. Beberapa ketika kemudian Albert bersuara perlahan-lahan. Teragak-agak .
"I kesian tengok you berdua. I betul-betul nak tolong you tapi tak tau macam mana…."
"Terima kasihlah Albert. You memang tak boleh tolong kita orang…"
Sepi. Zaki dan Albert sama-sama terdiam. Masing- masing melayani perasaan sendiri. Zaki tiba-tiba teringat pada kekasihnya Azzah. Mungkin Azzah sedang tidur di bilik. Tapi, dapatkah dia tidur dalam keadaan fikirannya yang berkecamuk macam sekarang ni?. Zaki terus termangu melayani fikirannya. Segala yang telah berlaku mengimbas kembali dilayar kenangannya…… .
Malam itu dia memenuhi gesaan Azzah supaya menemui orang tua kekasihnya itu. Dia memang amat keberatan tapi Azzah merayu dan menangis meminta dia datang.
"Datanglah bang…. Kalau abang benar-benar cintakan Azzah," Azzah merayu...
Lalu dia memberanikan diri nekad mengunjungi keluarga Azzah. Sejak ketibaannya dirumah itu lagi, renungan tajam Pak Jamlus, ayah Azzah membuat jantungnya berdegup kencang. Namun rasa cintanya yang amat mendalam terhadap Azzah menguatkan semangatnya. Akhirnya dia nekad membuka mulut. Merayu agar pertunangan dengan Azzah dengan tunangnya diputuskan bagi membolehkan dia berkahwin dengan Azzah.
"Apa, kau dah gila?" jerkah Pak Jamlus.
"Senang-senang kau suruh aku putuskan pertunangan anak gadis aku? Kurang ajar!". Serentak dengan kata-kata itu penampar Pak Jamlus, dukun juga guru 'Silat Rajawali' Kampung Selesa singgah di pipinya.
"Ayah!" Azzah menjerit lalu menangis. Penampar orang tua itu singgah pula di pipi Azzah.
"Kurang ajar! Berani kau bawa budak jantan ni, suruh aku putuskan pertunangan engkau. Baik engkau suruh budak ni berambus sebelum aku kerat lehernya!"
Dia tergamam. Tubuhnya menggeletar, bukan kerana takut tetapi menahan rasa marah. Marah kerana dihina. Marah melihat buah hatinya dilempang. Kemarahan nya yang meluap-luap membuat dia nekad untuk menentang orang tua itu.
"Saya hormat Pak Jamlus sebagai orang tua.Sebagai ayah Azzah. Tapi kalau Pak Jamlus tak tau hormat orang lain, jangan salahkan budak macam saya ni kurang ajar pada Pak Jamlus!".
"Abang Zaki, jangan!" Azzah menerpa lalu menghadang Zaki dari mendekati ayahnya.
"Kurang ajar!" tengking Pak Jamlus berang dengan mata yang terjegil.
"Abang Zaki, baliklah. Kalau abang sayangkan Azzah, abang baliklah," Azzah merayu sambil tersedu sedan. Rayuan Azzah membuat kemarahannya reda. Dia sempat berfikir, menimbangkan akibatnya jika dia terlanjur menentang ayah kekasihnya itu.
"Tolonglah bang,baliklah". Dia berundur perlahan-lahan ke pintu, lalu keluar.
Malam itu dia tidak dapat melelapkan mata. Dia cuba menghuraikan kekusutan fikirannya. Bergelut menahan perasaan marah, sedih kecewa. Menjelang subuh, dia mash lagi begitu. Namun sedikit demi sedikit timbul kekuatan dalam dirinya. Akhirnya dia membuat keputusan untuk melupakan Azzah. Sebagai langkah pertama, dia bertekad untuk ke Seremban, memenuhi pelawaan Albert untuk menyertai kumpulan muzik temannya itu bermain di sebuah kelab malam di sana. Hampir sebulan menyertai kumpulan Albert bermain di kelab malam itu, dia berjaya meredakan kekecewaannya. Karenah para pengunjung kelab tersebut, gurau senda kawan-kawan serta kesibukan berlatih sedikit sebanyak membantu. Biarpun tidak berdaya melupakan terus Azzah, sekurang - kurangnya dia dapat menerima hakikat, jodohnya dengan Azzah memang tiada. ...
Namun api cinta yang hampir terpadam, tiba-tiba marak kembali. Azzah tiba-tiba muncul. Rupa- rupanya Azzah telah terlihat gambarnya bersama kumpulan muziknya di dalam sebuah surat khabar Cina. Azzah kemudian membuat keputusan melarikan diri dari rumah dan mencarinya.
"Hari perkahwinan Azzah semakin dekat. Azzah tak sanggup menghadapi hari itu. Azzah masih cintakan abang," Ucap Azzah menahan sebak.
"Abang juga tak dapat menerima hakikat yang Azzah akan jadi isteri orang lain. Kita akan nikah di sini!" katanya sambil mengesat air mata di pipi Azzah.
Namun, kenyataannya, apa yang berlaku tidak semudah yang mereka rancangkan. Sudah hampir dua bulan mereka menemui kadi-kadi dan imam-imam di seluruh negeri itu. Berbelas-belas orang semuanya. Namun hasrat mereka bernikah tidak juga tercapai. Semua kadi dan imam yang mereka temui enggan menikahkan mereka dengan alasan Azzahh masih lagi menjadi tunangan pemuda lain..
"I betul-betul kasihan pada you orang berdua. I rasa nak cuba tolong you orang. I memang ada satu cara…tapi, I tak tahu sama ada you orang setuju atau tidak," Albert berkata perlahan-lahan, teragak-agak .
"Cara macam mana ? " dia menduga.
"You tahu kan . I ada buat kerja part time main muzik di church. Selalu juga I main muzik untuk wedding…." Albert masih teragak-agak.
"Jadi ? " dia masih tidak dapat menangkap tujuan kata-kata Albert.
"I pernah main muzik untuk wedding satu pasangan bukan Kristian yang kahwin di church…"
" Maksud you, Albert ? " dia ternganga,amat terkejut apabila menangkap apa yang ingin dicadangkan oleh temannya itu.
"I hanya mahu tolong you orang berdua.Kalau you orang dapat kahwin secara Islam, why not you ….."
" Tidak, Albert! Tak mungkin!". Albert terdiam. Dia serba salah.
Dia duduk bersandar di kepala katil, menatap wajah Azzah yang sedang lena di sisinya... Wajah kekasihnya itu kelihatan amat sugul. Penderitaan yang ditanggung jelas terbayang pada wajahnya. Dia mengeluh. Sudah lebih tiga bulan Azzah datang dan tinggal bersamanya. Sepanjang masa itu sudah berbelas-belas kadi dan imam yang ditemuinya. Impian mereka untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah tidak juga tertunai dan kini cadangan Albert seakan membuka satu jalan untuk mereka. Jalan yang tidak pernah terlintas difikirannya sebelum itu..
Tidak !
Tidak mungkin !
Kenapa tidak ?
Inilah jalan terbaik buat engkau. Kalau tidak lupakan sajalah niat engkau untuk berkahwin dengan dia !
Tapi, aku tidak rela…..
Dia memang tidak rela mengorbankan akidah dan imannya.Walaupun dia bukanlah seorang penganut agamanya yang baik, tetapi dia tidak sanggup menyimpang dari landasan ajaran agama itu. Malah sudah lebih tiga bulan dia tinggal sebumbung, tidur sekatil dan sebantal dengan kekasihnya, dia masih dapat menahan tuntutan nafsunya daripada melakukan zina. Sekurang-kurangnya ke saat itu... Ini kerana dia tahu, zina adalah sesuatu yang amat dilaknat oleh Allah. Apatah lagi untuk memilih jalan yang membuat dia menjadi murtad, dia tidak rela sama sekali.
Pagi itu dia bersama Azzah pergi menemui seorang lagi kadi. Kadi yang kesembilan belas dalam usaha untuk bernikah secara sah menurut hukum agama.
"Baiklah, kalau tuan kadi juga tidak dapat menikahkan kami,tak apalah," katanya kecewa.
"Tapi ingat,jangan salahkan kami kalau kami menikah di gereja nanti !". Entah macam mana kata-kata itu terkeluar dari bibirnya.
"Astafirullahal'azim! Mengucap nak ! " .
Dia menarik tangan Azzah keluar dari pejabat kadi itu. Azzah mengekori kebingungan. Azzah tidak pasti adakah dia benar-benar mahu di bawa untuk berkahwin di gereja. Tapi rasa cinta yang amat mendalam terhadap Zaki, membutakan mata hatinya. Lalu Azzah membulatkan tekad untuk menurut sahaja apa juga keputusan dan tindakan yang akan di lakukan oleh kekasihnya itu.
"Albert," Ucapnya perlahan .
" Ada apa Ki?" Tanya Albert.
"You pernah cakap nak tolong kita orang, kan ?"
"Ya,tapi…." Albert tergamam. Dia memandang wajah Zaki dan Azzah silih berganti.
"Kami dah buat keputusan untuk kahwin di church... I harap you tolong aturkan!"
Albert merenung wajah kedua temannya itu dengan pandangan yang masih curiga. " Tapi……."
" Kami tidak bergurau, Albert, please, help us!". Albert mengangguk perlahan ragu-ragu.
Segala persiapan telah diatur. Pagi itu dia dan Azzah telah berpakaian sekemis mungkin untuk dinikahkan di sebuah gereja di Bandar itu. Mereka menunggu kedatangan Albert untuk membawa mereka ke gereja berkenaan.
"Sudahlah. Jangan menangis lagi". Dia memujuk Azzah yang menangis tidak terhenti-henti sejak terjaga dari tidur subuh tadi. Subuh itu dia melihat Azzah menunaikan solat subuh. Selesai solat Azzah berwirid dan berdoa sambil menangis teresak-esak. Perlakuan Azzah itu membuat hatinya begitu hiba. Dia hampir-hampir membatalkan niatnya untuk bekahwin di gereja. Namun dia mengeraskan semangatnya, tetap tidak berganjak dari keputusannya. Dia percaya, tindakannya itu nanti akan menjadi suatu protes terhadap kadi dan imam.
Kedengaran bunyi enjin kereta memasuki halaman rumah. Dia dan Azzah menjengah keluar melalui pintu. Ternyata bukan kereta Albert yang datang tetapi sebuah teksi. Mereka berdua berpandangan, tertanya-tanya siapa yang datang. Sejurus kemudian kelihatan Albert keluar dari pintu depan teksi tersebut. Dia dan Azzah berasa lega. Tetapi sejurus kemudian dia dan Azzah amat terkejut. Mereka tidak percaya apa yang mereka lihat. Ayah dan ibu Azzah keluar dari pintu belakang teksi itu. Ibu Azzah terlebih dahulu menerpa masuk lalu merangkul tubuh anak gadisnya.
"Azzah!" Ucapnya sambil menangis terharu.
"Mengucaplah nak. Jangan ikutkan kata hati. Ayah dan ibu izinkan engkau berdua berkahwin,nak!".
"Ya, Azzah. Ayah izinkan. Ayah akan merestui perkahwinan engkau berdua!" Pak Jamlus bersuara menahan sebak. Azzah menerpa lalu melutut di kaki ayahnya itu. Pak Jamlus memegang kedua belah bahu Azzah lalu mengangkat.
"Sudahla Azzah, Zaki. Kemaskanlah barang-barang engkau berdua. Ikut ayah balik. Ayah akan uruskan perkahwinan engkau berdua," Kata Pak Jamlus lagi.
Dia terpinga-pinga. Masih tidak percaya apa yang berlaku. Dia berpaling merenung wajah Albert yang sejak tadi terpaku di muka pintu. Albert membalas renungannya, tersenyum sambil mengangguk-angguk…
KUASA HAMBA TERLETAK PADA DOA….. Adakah kita mendahulukan ADAT daripada HUKUM Allah.... Renung-renungkanlah... (kongkawan, aku copy paste jew cerpen ni dipade email yg kawan aku kasik..sbb berkenan dgn ceritanya kerana hal2 sekecil ini tidak pernah sesiapa fikirkan natijahnya boleh menjurus kepada hal yang besar dan serius =).. kalo penulisnye terbaca harap maaf kerana cerpen anda dipaparkan di sini. Tujuan saya hanyalah untuk memberi pengajaran buat diri saya dan kawan-kawan..terima kasih)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)










4 Beberapa budak comot komen kali ni:
Erkk..bahaya btl kan..disebabkan cinta kita buta...
Moral of the story:
Jgn becinta..tunggu mak ayah cari n terus kawen..uhukk..uhukk..InsyaAllah x lama lagi..
Berlalu smbl malu tersipu2...
kenape org x sggp mati anak dari mati adat sedangkan adat 2 akan mati klu anak x de
fuh...lotih den baca entry nie
hmm.. utk problem macam ni, boleh guna wali hakim.. dapatkan perintah mahkamah.
mungkin cerita ni dikarang ikut selera tanpa melakukan sedikit penyelidikan.
Post a Comment